Thursday, April 21, 2011

hAdIRmu KaSiH




cerpen ini aku hasilkan pada 20 Ogos 2010.. selamat membaca..


“Hadirmu dikala aku kesunyian..
Hadirmu dikala hati menagih kasih
Hadirmu memberi sinar harapan
Buatku insan bernama kekasih….”

Alisya Putri meletakkan kad yang dilukis cantik dengan bunga ros merah di atas meja tulisnya. Sekejab dia membuka dan sekejap dia menutup kad itu.
“Siapalah pulak AA ni? Kok ye pun nak ngorat aku baritahulah nama penuh. Senang sikit aku nak cari. Dia ingat dia tu anak menteri ke? Takut sangat orang tahu siapa dia.” Rungut Alisya sendirian. Kadang-kadang kelihatan dia menggarugaru kepalanya yang tidak gatal itu.
“Apa hal dengan kau ni Lisya. Tergaru-garu dari tadi. Sampai aku panggil kau pun tak dengar. Kepala kau ada kutu ke?” Soal Farhana yang baru pulang dari bilik air. Hairan juga melihat kawannya itu membebel sambil menggaru-garu kepala. Namun butiran yang keluar daripada bibir gadis itu langsung tidak difahaminya.
“Tak adalah. Kalau aku ada kutu pun kau lah orang pertama yang sebarkan kutu tu kat aku.” Alisya menghabiskan kata-katanya dengan ketawa geli hati. Makin menjadi-jadi ketawanya apabila melihat wajah Farhana yang masam mencuka itu.
“Alah An. Aku gurau ajelah. Tak kan itu pun kau nak marah kut. Sorrylah. Tapikan An. Makin kau muncung macam tu, makin cun pulak aku tengok.” Alisya tersenyum ke arah Farhana yang terkulat-kulat menahan malu.
“Eleh. Tu akal nak pujuk akulah tu. Tak payahlah kau nak bodek-bodek aku. Aku tahu kau gurau aje tadi.” Balas Farhana sambil menapak ke arah kawannya yang masih setia di meja tulisnya.
“Apa yang kau bebelkan tadi Lisya. Aku dengar rumit sangat.”
“Apa lagi. Kad ni lah.” Alisya menghulurkan kad di tangannya kepada Farhana. Lalu gadis itu membuka kad yang sudah berada di tangannya.
“Cewah. Hadirmu dikala aku kesunyian konon. Siapa hantar ni Lisya.” Soal Farhana sebaik habis membaca isi kad tersebut.
“Itulah. Kalau aku tahu tak lah aku tergaru-garu kepala aku ni. Dan kalau dia nak tulis nama dia sampai tujuh keturunan pun aku tak kisah. Ini tak dia ingat aku ni penyiasat persendirian ke? Dia tulis AA je. Entah-entah nama dia AA bin BB kut.” Berderai ketawa Alisya dan Farhana sehingga berair mata mereka berdua.
“Secret admire kau kut. Bukan aku tak tahu kau tu. Peminat keliling pinggang. Tapi satu pun kau tak layan. Eh Lisya. Apa kata kau layan aje mamat jiwang karat ni. Bila lagi kan?” Kata Farhana sebaik sahaja mereka berhenti ketawa.
“Eh An. Kau nak suruh aku layan AA ni? Tolong sikit. Bukan stail aku tau layan-layan jantan ni. Senang-senang kau jelah yang ambil si AA ni. Nak tak?”
“Oi Cik Lisya. Senangnya kau cakap. Tunang aku tu aku nak letak mana? Kalau dia tahu aku ada balak lain boleh masuk Tampoi tau buah hati aku tu. Aku tak nak ambil risiko.”
“Alah. Tak nak sudah. Aku tahulah kau tu sayang gila kat si Hafiz kau tu.”
“Tahu tak apa. Sekurang-kurangnya aku pun tahu dia sayangkan aku jugak. Kau tu Lisya. Aku cabar kau cari siapa AA ni.”
“Kau pun sama macam AA nilah. Ingat aku ni penyiasat ke?” Namun akhirnya Alisya kembali merenung kad yang telah kembali ke tangannya. Sesekali dia menggosok kad itu. Tidak mahu lagi dia terus berbicara tentang hal itu. Kerana hatinya dalam diam telah lama dihuni oleh insan yang sudah 13 tahun tidak dijumpainya. Akhirnya sekali lagi dia tersenyum sendiri apabila mengingati kenangannya sewaktu kecil. Indah sekali waktu itu. Dunia seakan-akan berhenti berputar. Alisya terfikir sendiri. Kalaulah masa itu boleh di putar semula. Alangkah indahnya dunia. Dia tersenyum lagi.

....................................................................................

“Putri. Janganlah tinggalkan Aiman. Nanti dengan siapa Aiman nak main. Siapa akan naik basikal dengan Aiman kalau Putri tak ada.” Rayu Aiman sambil memegang tangan Alisya. Dia berasa sedih sekali kerana kawan yang selalu bermain dengannya akan berpindah seterusnya berpisah jauh daripadanya. Semakin erat genggaman tangannya itu. Namun gadis kecil itu tidak mampu untuk berkata apa-apa lagi. Hanya esakan yang keluar dari bibir comel miliknya.
“Lisya. Ingat Aiman selalu ya. Jangan lupakan Aiman dan juga Blue Bird tau.” Akhirnya dengan linangan air mata dia melihat kereta yang dinaiki oleh Alisya bergerak semakin jauh meninggalkannya.
Aiman merenung potret dua kanak-kanak yang terkurung di dalam frame gambar di tangannya.
“Putri. Aiman rindukan Putri. Biarlah sejuta tahun pun berlalu. Aiman tak akan lupakan Putri.” Bicara Aiman sendirian. Namun ada segaris senyuman di akhir kata-katanya.

....................................................................................

Seperti biasa selepas habis kuliah, Alisya dan Farhana terus melangkah ke cafeteria untuk menjamu perut mereka yang sedari tadi berlagu riang.
“Cepatlah sikit Lisya. Aku lapar sangat dah ni. Dari pagi aku belum makan tau.” Farhana pantas menarik tangan Alisya sambil mempercepatkan langkahnya.
“Kau ni An. Tak boleh nak sabar sikit ke? Kalau jatuh nanti macam mana? Tak kecoh satu U ni nanti.” Farhana hanya tersengeh-sengeh mendengar kata-kata kawannya itu.
“Emm.. Sorrylah Lisya.” Alisya hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya sambil tersenyum.
“An. Lepas makan nanti temankan aku pergi kedai Alaf Baru boleh tak?” Ajak Alisya sebaik sahaja mereka selesai membeli makanan tengah hari itu.
“Sekali lagi aku nak mintak maaf kat kau. Kenapa tak cakap semalam. Baru tadi Hafiz call aku. Dia ajak tengok wayang lah. Sorry ya Lisya.”
“Oh ya ke? Jadi aku kena pergi soranglah ni?” Farhana hanya mengangguk kepalanya bagi mengiakan kata-kata temannya itu.

...................................................................................

“Engkau ni Aiman. Kenapa tak pergi jumpa dia aje. Kalau kau pergi jumpa dia dah lama benda ni settle tau. Tak payah susah-susah aku kena temankan kau beli semua kad-kad ni.” Zakri yang sedari tadi menemani Aiman memilih kad mula meluahkan pendapatnya.
“Bukan aku tak nak jumpa dengan dia. Tapi belum tiba masanya lagi. Kalau aku dah sampai masa yang sesuai aku pergilah jumpa dia. Dan kau pun tak payah lagi susah-susah temankan aku. Okey.” Balas Aiman sambil tersenyum.
“Banyaklah kau punya masa. Kena sambar dengan orang lain baru kau tahu. Waktu tu baru kau tahu yang kau tu dah kesuntukan masa. Baru padan dengan muka kau.” Tergelak Aiman melihat gelagat kawannya yang seorang itu. Berleter mengalahkan mak nenek.
Pada masa yang sama, Alisya baru sahaja memasuki kedai itu. Pantas kakinya melangkah ke arah rak yang menempatkan pelbagai jenis alat tulis. Sebaik sahaja tiba di hadapan rak tersebut, matanya terus meliar mencari pen yang dikehendakinya. Dalam masa dia asyik mencari, sebatang pen berjaya menarik perhatiannya. Mujur ada satu lagi. Bisiknya di dalam hati.
Lantas tangan kanannya terus diangkat untuk mengambil pen itu. Sebaik sahaja Alisya memegang pen itu, ada jari lain turut memegangnya. Serentak. Kedua-dua insan tersebut saling berpandangan. Ada riak terkejut yang terpancar pada wajah mereka.
“Emm.. Maaf. Saya rasa, saya yang pegang pen ni dulu.” Alisya berkata sambil memaniskan mukanya. Lelaki yang turut memegang pen tersebut tersenyum memandangnya. Rimas Alisya dibuatnya.
“Awak dengar tak saya cakap ni. Pen ni saya punya lah.” Alisya semakin geram dengan gelagat lelaki di hadapannya itu.
“Are you sure?” balas lelaki itu ringkas. Suka dia melihat wajah merah padam gadis itu. Marah atau malu barangkali.
“Ya. I’m very sure. Saya tak peduli. Saya nak jugak pen ni. Awak jangan cari pasal dengan saya.” Alisya membentak keras. Dia tidak menghiraukan kepada beberapa pasang mata yang sedang memerhatikan mereka berdua. Pantas lelaki itu merampas pen yang berada di tangannya.
“Kalau awak nak. Ambillah.” Lelaki itu meletakkan pen tersebut di dalam poket baju kemejanya. Dia mahu melihat sejauh mana keberanian gadis itu merampas pen tersebut daripadanya. Direnung wajah bujur sirih milik Alisya. Wajah yang selama ini dirinduinya. Sudah lama dia impikan saat indah begitu. Dia tersenyum melihat wajah keruh di hadapannya. Peluh mula keluar dari dahi gadis itu. Sebentar kemudian dia tersentak apabila gadis itu mengambil pen tersebut di poket bajunya.
“Sorry. It’s mine. Tengok takdir pun menyebelahi saya.” Alisya hairan melihat lelaki itu merenungnya tanpa berkelip. Timbul perasaan nakal untuk merampas pen tersebut daripada lelaki itu. Kini pen itu sudah pun berada di dalam tangannya. Lelaki itu hanya tersengih memandangnya.
“Awak ni dah tak siuman agaknya. Tersengih dari tadi. Macam kerang busuk tahu tak?” Alisya pantas meninggalkan lelaki itu dan berlalu ke kaunter pembayaran. Tidak kuasa dia terus melihat lelaki yang kaya dengan sengihan itu. Geli dibuatnya.
“Eh Aiman. Tunggu apa lagi ni? Jomlah kita balik. Tak kan nak berkampung kat sini kut?” Zakri yang turut menyaksikan peristiwa tersebut terus mengajak Aiman pulang. Sudah hampir 3 jam mereka di kedai itu.
“Jomlah. Sibuk ajelah kau ni.” Mereka beriringan melangkah ke kaunter pembayaran. Dilihatnya Alisya sudah tiada di situ. Dia tersenyum mengenangkan pertemuan yang tidak disengajakan antaranya dan Alisya. Terasa ingin dipeluk tubuh insan yang amat dirinduinya itu.

...................................................................................

Malam itu Alisya tidak dapat melelapkan mata. Pagi tadi sekeping lagi kad yang terlukis beberapa ekor burung berwarna biru terselit di cermin keretanya. Masih terbayang-bayang lagi tulisan indah itu di layar mindanya. Namun yang paling tidak dapat dilupainya ialah perkataan yang sudah lama tidak didengarinya.

“Biarpun dirimu hilang ditelan kabus..
Tetapi aku dapat merasakan kehangatan cintamu
Biarpun sejuta tahun menelan usia ku..
Namamu akan terus mekar di hatiku..
Selamanya…”
Blue Bird -AA-

“Adakah AA tu Aiman Asyraf yang aku rindui selama ini? Kalau benarlah dia Aiman, syukurlah Ya Allah.” Alisya tidak dapat menahan sebak yang makin mencengkam kerinduan di hatinya saat itu. Lalu dengan rela manik-manik jernih dibiarkan mengalir ke pipinya yang mulus itu. Namun jauh di sudut hatinya dia tertanya sendiri. Mengapa Aiman tega memperlakukannya sedemikian rupa?

………………………………………………………………………………………………………
Alisya nekad. Dia akan pastikan lelaki yang menyebabkannya menjadi penunggu kepada cinta sejati dapat ‘diberkasnya’. Walaupun terpaksa ponteng kuliahnya hari itu, namun dia tetap dengan keputusannya. Farhana tidak terlepas daripada menjadi orang yang melarangnya berbuat begitu. Hari tu dia juga yang cabar aku. Hari ni nak haling aku pulak. Ngomel gadis itu di dalam hati. Kini tumpuan Alisya hanya kepada keretanya.
“Aiman. Hari ni Putri akan pastikan yang Aiman akan terperangkap dengan jerat yang Aiman buat sendiri.” Bisik Alisya di dalam hati. Bibirnya tiba-tiba tersenyum penuh makna.

...................................................................................

“Ah! Lega. Nasib baik dia tak ada. Kalau tak, habis bocor rahsia aku hari ni. Aku kena cepat ni. Kejap lagi ada kuliah pulak.” Seperti biasa dia akan melakukan rutinnya itu dengan meletakkan kad di cermin kereta Alisya. Sebaik sahaja dia hendak melangkah pergi meninggalkan kereta gadis itu, tiba-tiba dia terdengar derap langkah seseorang di belakangnya.
“Dah lama Aiman buat kerja ni? Kenapa tak terus jumpa Putri je.” Walaupun pada mulanya Alisya agak terkejut apabila melihat Aiman rupa-rupanya lelaki yang berebut pen dengannya tempoh hari. Aiman pula terus memusingkan badannya ke arah Alisya.
“Putri..” Kerana masih terkejut, hanya itu yang terkeluar daripada mulut lelaki itu.
“Kenapa Aiman buat Putri macam ni? How could you.” Tiba-tiba perasaan sebak menyelubungi hatinya. Air mata yang ditahan sedari tadi kini mula mengalir ke pipinya. Aiman yang menyedari keadaan itu, mula menghampiri gadis yang selama ini menjadi pujaan hatinya. Dia menyentuh kedua-dua bahu gadis itu.
“Putri jangan nangis lagi. Ya sayang. Aiman tak ada niat lain pun. Cuma Aiman nak lihat adakah Putri masih mengingati Aiman. That’s all. I’m so sorry.” Aiman terus menyeka air mata yang membasahi pipi mulus milik Alisya Putri.
“Kenapa hanya menghantar kad sebagai pemuas hati Aiman? Tanpa Aiman sedar, yang Aiman telah menyiksa hati Putri.”
“Maafkan Aiman, sayang. Bukan Aiman sengaja nak hidup Putri tersiksa. Tapi Aiman buat semua ni sebab Aiman cintakan Putri. I love you, Putri. I love you.” Aiman pantas memeluk erat tubuh kecil di hadapannya. Biar cinta dan sayangnya turut mengalir ke tubuh itu.
“Kenapa Aiman tak bersemuka terus je dengan Putri. Aiman tahu tak dah lama Putri pendam perasaan ni. Nak cari Aiman, Putri tak tahu nak mula dari mana. Sekarang, Aiman dah pun ada di hadapan Putri. Biarlah hari ini Aiman tahu segala-galanya. Putri pun cintakan Aiman. Putri tak tahu sejak bila perasaan ni hadir. Tahu-tahu je Putri takut kehilangan Aiman dalam hidup Putri.” Alisya menyentuh lembut tangan Aiman. Dia tahu kebahagiaan kini juga akan menjadi miliknya.
“Kalau macam tu. Sayang jangan tinggalkan Aiman lagi tau. Penat lah nak cari puteri Aiman yang cantik ni.”
“Iyalah tu. Hari tu masa kat kedai, kenapa tak beritahu yang awak tu Aiman. Kan senang. Ini tak, buat macam tak kenal pulak. Dah la buat orang peluh satu badan. Tapi kalau Putri tak kenal Aiman pun bukannya salah Putri. Tapi salah Aiman. Kenapa tak tegur Putri. Nak buat surprise konon.”
“Alah. Sorry okey. Aiman tak sengaja lah. Tapi seronok jugak tengok Putri menggelabah macam tu. Cute sangat Aiman tengok.”
“Seronok? Hah ni seronok.” Jari runcingnya terus mencubit lengan Aiman. Terjerit lelaki itu dibuatnya. Namun Aiman kembali tersenyum apabila melihat wajah Alisya yang tertunduk malu itu.
“Jom tengok wayang nak tak?” Ajak Aiman selepas menjeling jam tangannya. Alang-alang terlewat baik ponteng terus. Bisik lelaki itu di dalam hatinya.
“Aiman tak ada kuliah ke hari ni? Nak ponteng kuliah ye?” Alisya cuba menduga.
“Eleh. Cakap orang. Putri tu. Macam Aiman tak tahu. Aiman tahulah jadual Putri.” Akhirnya Alisya tersenyum apabila tuduhannya mengenai batang hidung sendiri. Namun dia bangga mempunyai kekasih seperti Aiman. Apa tidaknya sampai jadual hariannya pun lelaki itu hafal. Alisya tergelak di dalam hati.
“Jomlah sayang.” Ajak Aiman sekali lagi.
“Pergi mana?”
“La.. Tengok wayang lah.”
“Oh. Ingatkan pergi bintang tadi.” Akhirnya Putri tersenyum bahagia. Berjumpa juga dia dengan cinta sejatinya. Syukur Ya Allah. Doanya di lubuk hatinya.
“Aiman. Apa yang Aiman tulis dalam kad tu ye?” Alisya menuding jarinya ke arah kad yang masih terselit di Cermin keretanya. Aiman akhirnya tersenyum.
“Aiman tulis Aiman akan jaga Putri sampai akhir hayat Aiman. Dan Putri akan terus bertahta di hati ini selama-lamanya.” Dia membawa kedua-dua tangan gadis itu ke dadanya yang bidang. Biar gadis itu tahu yang dirinya sangat mencintainya. Alisya tersenyum puasa mendengar penjelasan Aiman.
“I love you, Aiman” Ucap gadis itu lembut.
“Tak payah cakap. Aiman dah tahu cinta Putri pun hanya untuk Aiman je.” Mereka akhirnya meninggalkan tempat letak kereta yang menjadi saksi cinta mereka. Kehadiran cinta tanpa di duga telah membawa mereka ke gerbang bahagia. Bahagia yang akan kekal selamanya.

“Kau seperti nyanyian dalam hatiku
Yang memanggil rinduku padamu
Seperti udara yang ku hela
Kau selalu ada
Selalu ada dan selalu ada..”

Sekian..

No comments:

Post a Comment